Berita Semasa

Sarawak laksana pendidikan tinggi percuma mulai 2026

KUCHING – Kerajaan Sarawak meluluskan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat negeri itu.

Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kelulusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet Negeri pada 20 Mac lalu.

Menurut kenyataan itu, skim berkenaan melibatkan empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak iaitu Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.

“Program yang ditawarkan di bawah skim ini termasuk Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan serta Kewangan.

“FTES akan melibatkan semua pelajar baharu dan sedia ada mulai 2026 dengan pembiayaan sepenuhnya bagi yuran pengajian,” katanya lagi.

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memberikan elaun sara hidup sebanyak RM15,000 setahun kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn memaklumkan butiran lanjut berkenaan skim tersebut termasuk senarai kursus yang ditawarkan dan prosedur permohonan akan diumumkan pada November nanti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button