
AIAC Sarawak perkukuh akses keadilan, tarik keyakinan pelabur
KUCHING – Penubuhan cawangan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Sarawak dijangka memperkukuh akses kepada penyelesaian pertikaian komersial selain meningkatkan keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemeteraian perjanjian penubuhan AIAC Sarawak merupakan langkah penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) terkemuka di rantau ini.
Menurutnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO) dalam memperkukuh ekosistem ADR bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan, pengamal undang-undang antarabangsa dan pelabur.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memberikan sokongan menerusi penyediaan bangunan Muzium Tekstil Sarawak sebagai premis AIAC Sarawak serta geran sekali beri RM10 juta bagi kerja pengubahsuaian dan penyediaan kemudahan serta teknologi moden untuk pelaksanaan prosiding ADR.
Susulan pemeteraian perjanjian itu semalam langkah pelaksanaan dan perancangan operasi akan dipergiat, termasuk kerja pengubahsuaian premis serta pelaksanaan program pembangunan kapasiti dan ADR di Sarawak.
“Pengoperasian penuh akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen dan sokongan terhadap penubuhan institusi berkenaan.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan MADANI kekal komited memperkukuh institusi penyelesaian pertikaian yang moden, cekap dan diyakini bagi memastikan sistem perundangan negara terus menyokong pembangunan ekonomi, keyakinan pelabur serta daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








