
MdI laksana lelongan aset berskala besar, perkasa Dasar Peluang Kedua
PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) akan melaksanakan pendekatan baharu menerusi lelongan aset berskala besar melibatkan pelbagai kategori termasuk kenderaan, hartanah, helikopter dan kapal layar sebagai sebahagian usaha mempercepatkan proses penyelesaian hutang serta memperkukuh pelaksanaan Dasar Peluang Kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Dasar Peluang Kedua merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI yang memberi ruang kepada individu bankrap untuk membina semula kehidupan melalui mekanisme pelepasan kebankrapan yang lebih efisien, inklusif dan berperikemanusiaan.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu telah membantu ratusan ribu individu memperoleh pelepasan kebankrapan sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan golongan terkesan dapat kembali menyumbang kepada ekonomi negara.
“Saya percaya Dasar Peluang Kedua ini bukan sekadar dasar, tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan mereka yang pernah berdepan kesukaran kewangan diberikan peluang untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baharu,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri berkata, siri lelongan tersebut akan bermula di Putrajaya pada 26 hingga 28 Jun ini sebelum diperluaskan ke enam zon di seluruh negara secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.
Beliau berkata, pelaksanaan lelongan itu merupakan pendekatan baharu jabatan berkenaan dalam melupuskan aset sitaan secara lebih telus dan terbuka kepada orang ramai, sekali gus membantu mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan individu yang terlibat.
“Untuk Zon Tengah melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, diikuti Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Seterusnya Pantai Timur melibatkan Pahang, Kelantan dan Terengganu, manakala Zon Utara meliputi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis,” katanya lagi.
Menurut beliau, program berkenaan turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian usaha menyeluruh kerajaan dalam memastikan pengurusan aset insolvensi dilaksanakan secara lebih sistematik di seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan aset yang dikenal pasti untuk lelongan merangkumi pelbagai jenis aset alih dan tidak alih termasuk kenderaan mewah, hartanah serta aset bernilai tinggi lain yang disita di bawah pengurusan MdI.
“Antara aset yang terlibat termasuk kenderaan mewah, helikopter, kapal layar serta beberapa aset hartanah tertentu, tertakluk kepada proses penilaian dan bidaan awam,” katanya lagi.
Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai aset yang ditawarkan menerusi laman sesawang rasmi serta e-buku yang disediakan di Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 melalui imbasan kod QR.
Menurutnya, pelaksanaan lelongan itu bukan semata-mata bertujuan menjana hasil, sebaliknya menjadi mekanisme penting dalam melicinkan proses penyelesaian hutang serta memberi peluang kedua kepada individu bankrap untuk membina semula kehidupan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Insolvensi untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Peluang Kedua agar lebih inklusif, telus dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















