
Mahkamah Madrid tolak tuntutan Sulu, pelantikan penimbang tara tidak sah
KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat satu lagi kemenangan dalam mempertahankan kedaulatannya apabila Mahkamah Tinggi Madrid mengesahkan keputusan membatalkan pelantikan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Keputusan yang dimaklumkan pada 14 Februari 2025 itu sekali lagi menolak cubaan pihak Sulu untuk membatalkan keputusan mahkamah Sepanyol pada 29 Jun 2021, yang mengisytiharkan pelantikan Stampa sebagai tidak sah.
Menurut keputusan mahkamah, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat telah disapina secara tidak sah dalam proses pelantikan penimbang tara, sekali gus menjadikan semua tindakan Stampa dalam kes tersebut terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Selepas keputusan mahkamah pada 2021, beberapa arahan telah dikeluarkan kepada Stampa supaya menghentikan serta-merta arbitrasi Sulu.
Namun, beliau dilaporkan mengabaikan arahan tersebut dan tetap meneruskan proses arbitrasi.
Lebih mengejutkan, Stampa dikatakan menerima bayaran lebih daripada USD 2.7 juta (RM 11.95 juta) daripada pihak Sulu, yang dibiayai syarikat litigasi berpangkalan di London, Therium.
Dalam usaha mengelak pengawasan mahkamah Sepanyol, Stampa juga bertindak memindahkan lokasi arbitrasi dari Madrid ke Paris atas permintaan pihak Sulu.
Akibatnya, beliau telah dua kali disabitkan kesalahan jenayah oleh mahkamah Sepanyol.
Pada Disember 2023, pihak Sulu sekali lagi cuba mencabar keputusan mahkamah dengan mendakwa wujud tekanan politik daripada Kementerian Luar Negeri Sepanyol kerana kepentingan ekonomi dengan Malaysia.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Madrid dalam keputusan terbaharunya pada 11 Februari 2025 menolak sepenuhnya permohonan tersebut dan mengarahkan pihak Sulu menanggung kos perbicaraan.
Mahkamah turut menegaskan bahawa keputusannya dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang dan tidak dipengaruhi oleh sebarang tekanan luar.
Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan itu dan menegaskan akan terus berjuang untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








