Suspek rogol akan dikenakan hukuman sewajarnya – Azalina
KUALA LUMPUR – Suspek kes rogol di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan perundangan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika memberi jaminan itu berkata, faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.
Tambahnya, tindakan merogol adalah perbuatan jenayah dengan pertuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.
“Bukannya (pelaku) bawah 18 tahun boleh bebas jika dia melakukan jenayah. Ini banyak orang salah faham.
“Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan, tetapi mahkamah (untuk prosiding pertuduhan dan perbicaraan kes terbabit) mungkin berlainan,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung empat pelajar disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan, dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November depan.
Kelmarin, empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari sehingga Khamis depan, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, minggu lalu.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana ke atas semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








