Kerajaan kaji gubal Akta Anti Buli, tribunal khas bakal ditubuhkan
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang keperluan menggubal Akta Anti Buli dengan mewujudkan sistem tribunal khas bagi mendengar kes membabitkan pelajar dan kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, ketika ini tiada undang-undang khusus bagi kesalahan buli, sebaliknya ia ditangani menerusi Kanun Keseksaan dan beberapa peruntukan lain.
Namun, katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyuarakan kebimbangan berhubung situasi di mana pelaku dan mangsa buli adalah sama-sama kanak-kanak, sekali gus menjadikan Akta Kanak-Kanak terpakai.
“Dalam kes membabitkan kanak-kanak, sistem tribunal wajar digunakan sama seperti pendekatan di bawah Akta Antigangguan Seksual.
“Perkara itu perlu dibincangkan di peringkat Kabinet untuk menentukan sama ada proses baharu perlu diwujudkan,” katanya selepas pembukaan Forum Undang-Undang ASEAN (ALF) 2025, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri, M Kulasegaran dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Zamri Misman.
Azalina menambah, kerajaan akan meneliti undang-undang beberapa negara lain yang menggunakan pendekatan berbeza dalam menangani kes buli.
“Pendekatan pemulihan perlu diberi keutamaan berbanding hukuman bersifat menghukum yang seharusnya menjadi pilihan terakhir,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







