SPR teliti kos kempen digital, had belanja pilihan raya mungkin dikaji semula – Azalina
KUALA LUMPUR – Amalan kempen digital termasuk penggunaan iklan berbayar di media sosial antara perkara yang sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam usaha memperkemas peraturan pilihan raya sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penelitian itu dibuat susulan perkembangan bentuk kempen yang semakin berubah selaras dengan kemajuan teknologi.
Menurut beliau, proses libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan dilaksanakan sebelum sebarang pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) dimuktamadkan.
“Perkara itu juga akan mengambil kira pandangan mereka yang terbabit.
“Bagaimanapun, SPR masih belum memuktamadkan pindaan yang akan dibuat sehingga sesi libat urus selesai dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai keperluan mengemas kini akta tersebut bagi mengambil kira amalan baharu seperti kempen digital serta bentuk pindaan yang dicadangkan kerajaan.
Mengulas isu had perbelanjaan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang dilihat tidak lagi praktikal, Azalina menjelaskan bahawa berdasarkan input SPR, perbelanjaan yang dinyatakan di bawah AKPR merujuk kepada perbelanjaan calon yang bertanding, bukan perbelanjaan parti politik.
“Perbelanjaan maksimum yang dibenarkan bagi setiap calon Dewan Rakyat ialah RM200,000 manakala RM100,000 bagi setiap calon Dewan Undangan Negeri.
“SPR juga sedang meneliti kesesuaian had perbelanjaan baharu serta kemungkinan mengambil kira perbelanjaan parti semasa pilihan raya dalam usaha menambah baik AKPR,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








