Keadilan hak semua sejak lahir, bukan milik segelintir – Azalina
KUALA LUMPUR – Keadilan bukanlah keistimewaan segelintir pihak sebaliknya hak setiap insan sejak lahir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, terdapat keperluan mendesak melakukan reformasi kerana masih wujud lebih 4.5 bilion penduduk dunia tidak menikmati perlindungan undang-undang, sekali gus menuntut Malaysia memperkukuh komitmen terhadap keadilan dan kesaksamaan.
“Nelson Mandela pernah mengingatkan sebuah negara tidak seharusnya dinilai daripada cara ia melayan warganya yang paling hebat tetapi daripada cara ia melayan golongan paling lemah.
“Kita tidak boleh membiarkan keadilan menjadi hak eksklusif segelintir pihak kerana ia sepatutnya dinikmati setiap insan sejak dilahirkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Azalina berkata, sebanyak 253 juta orang di seluruh dunia masih hidup dalam ketidakadilan melampau termasuk menjadi mangsa tanpa negara, perhambaan moden dan tahap keselamatan rendah.
Beliau turut menyentuh laporan yang menunjukkan Malaysia mencatat peningkatan 5.1 peratus dalam kedaulatan undang-undang antara 2016 hingga 2023, menjadikannya antara negara berprestasi terbaik berbanding trend global yang merosot di 57 peratus negara dalam tempoh 2023 hingga 2024.
“Ketika ini, 6.3 bilion orang tinggal di negara yang kedaulatan undang-undangnya semakin merosot,” katanya.
Mengulas usaha reformasi, Azalina memaklumkan, kerajaan sedang meneliti semula rangka kerja undang-undang komersial termasuk Akta Kontrak 1950 dan Akta Jualan Barang dengan memberi tumpuan kepada isu terma tidak adil, undang-undang siber serta transaksi digital.
“Kerajaan bekerjasama rapat dengan ahli akademik, pakar undang-undang, pemain industri dan masyarakat sivil bagi memastikan sistem perundangan kekal relevan, mesra perniagaan serta menyokong inovasi dan perdagangan global,” katanya.
Forum tiga hari yang disertai Azalina itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi pakar dengan kehadiran lebih 300 peserta dari ASEAN dan negara lain, membincangkan isu penyelesaian pertikaian alternatif, reformasi undang-undang komersial, perniagaan dan hak asasi manusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








