Kerajaan cadang pinda Kanun Keseksaan, jadikan salah guna teknologi AI sebagai jenayah
KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang meminda Kanun Keseksaan bagi menjadikan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk penghasilan imej intim sintetik, penyamaran digital dan ‘automated grooming’, sebagai jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut antara usaha bagi menjadikan sistem undang-undang jenayah negara kekal relevan dalam mendepani perubahan teknologi.
“Jenayah seperti penipuan siber, eksploitasi dalam talian, penyamaran digital dan manipulasi teknologi ‘deepfake’ semakin berleluasa serta sukar dikesan dengan kaedah konvensional.
“Ini sekali gus menuntut pendekatan perundangan yang lebih progresif dan responsif selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Jenayah dan Pembaharuan Undang-undang: Sistem Keadilan Jenayah dalam Era Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini hari ini.
Sementara itu, Azalina berkata, perbincangan mengenai perbicaraan yang adil khususnya berkaitan beban pembuktian di akhir kes pendakwaan mungkin bersifat teknikal, namun kesannya memberi implikasi nyata dalam dunia sebenar.
Beliau berkata, piawaian undang-undang yang jelas dan konsisten amat penting bagi melindungi hak tertuduh, memastikan integriti pendakwaan, dan mengekalkan keselarasan kehakiman.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








