Perak larang penjualan vape mulai 1 Jan 2026
IPOH – Kerajaan negeri Perak akan menguatkuasakan larangan penjualan vape mulai 1 Januari.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Komuniti India dan Perpaduan Nasional Negeri Perak, A Sivanesan berkata, larangan itu susulan Polisi Larangan Lesen Penjualan Rokok Elektronik atau Vape yang sudah diluluskan.
Katanya, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini.
“Vape yang sering dipasarkan dengan perisa menarik bukan sahaja boleh menjadi pintu masuk kepada tabiat merokok, malah berpotensi disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah.
“Keadaan ini meningkatkan risiko penyakit, kos rawatan kesihatan dan masalah sosial,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Kelulusan polisi itu menjadikan Perak negeri ketujuh melaksanakan larangan lesen vape selepas Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang.
Sivanesan berkata, antara langkah utama pelaksanaan polisi berkenaan termasuk larangan lesen baharu dengan tiada premis dibenarkan mendapatkan lesen untuk menjual vape.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri menrusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan memperbaharui lesen sedia ada.
Larangan itu, jelasnya, dilaksanakan bagi mencegah risiko ketagihan nikotin dan kesan buruk bahan kimia yang terdapat dalam rokok elektronik, selain langkah tegas melindungi kesihatan rakyat, khususnya generasi muda.
“Larangan ini terpakai ke atas semua kategori premis perniagaan di seluruh negeri tanpa pengecualian jenis dan waktu operasi.
“Kita akan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu melalui PBT dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan, semua polisi terbabit akan berkuat kuasa sehingga digantikan oleh peraturan baharu Kerajaan Persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








