JENAYAH & MAHKAMAH

Polis lengkapkan kertas siasatan nahas tragis korbankan dua beranak

KUANTAN – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kemalangan maut melibatkan lori tangki dengan sebuah kereta yang meragut nyawa dua beranak di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, dekat sini, pada 14 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, pemandu lelaki berusia 37 tahun masih ditahan untuk siasatan selepas direman empat hari yang berakhir esok.

Beliau memberitahu, tempoh reman itu tidak akan disambung dan kes terbabit akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pendakwaan.

“Setakat ini, pemandu lori tangki masih dalam tahanan kami kerana tempoh reman berakhir esok.

“Kes akan dirujuk kepada pejabat TPR dan akan (suspek) dituduh selepas mendapat keputusan,” katanya.

Azry Akmar berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Sukarto Mohd Zahar yang sebelum ini menjawat Urusetia JPJKK Bukit Aman dilantik sebagai Ketua JPJKK Pahang yang baharu.

Beliau menggantikan Datuk Mohamad Noor Yusof Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika diminta mengulas mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas mangsa, Azry Akmar mengesahkan keputusan ujian berkenan sudah diperoleh.

Katanya, mangsa disahkan sebagai Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, bersama anak lelakinya, Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.

“DNA kedua-dua mangsa sudah kita disemak. Keputusan adalah positif dan memang dua beranak berkenaan,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, seorang wanita dan anak lelakinya rentung selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol yang kemudiannya terbakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button