KKR perkasa infrastruktur jalan lebih selamat, kurangkan risiko kemalangan – Nanta
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mahu memberi tumpuan kepada pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kesilapan manusia, susulan 6,537 nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu penting memandangkan 80.6 peratus kemalangan dikaitkan dengan faktor manusia, manakala kerugian sosio-ekonomi akibat kemalangan jalan raya dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun.
Beliau berkata, KKR tidak mahu hanya membaiki jalan selepas kemalangan berlaku, sebaliknya mahu memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan dalam pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya.
“Bagi saya, RM30 bilion bukan sekadar angka ekonomi. Ia menggambarkan besarnya kesan kemalangan jalan raya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Tetapi yang paling besar ialah kehilangan insan tersayang.
“Kita tidak boleh menganggap 18 kematian sehari sebagai perkara biasa. Setiap nyawa yang berjaya kita selamatkan adalah kemenangan untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan di media sosialnya hari ini.
Baca juga : KKR tingkat kapasiti saliran elak banjir kilat berulang di PLUS
Nanta berkata, dapatan berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Katanya, angka kerugian sosio-ekonomi itu dinilai berdasarkan nilai ekonomi bagi perubahan risiko kematian, termasuk kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan kepada keluarga dan masyarakat.
“Lebih membimbangkan ialah 80.6 peratus kemalangan dikaitkan dengan faktor manusia. Ini menunjukkan keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja.
“Inilah yang saya seru setiap kali dalam ucapan saya. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, teknologi dan infrastruktur yang lebih selamat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








