JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu lori sampah warga asing diburu selepas rempuh tembok Plaza Tol LDP

SUBANG JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki memandu sebuah lori sampah yang merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Puchong Selatan, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pemandu terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan dan meninggalkan kelindannya yang cedera di lokasi kejadian.

Menurutnya, insiden berlaku kira-kira pukul 2.30 petang apabila lori sampah jenis Isuzu yang datang dari arah Putrajaya menuju ke Bukit Puchong hilang kawalan sebaik tiba di kawasan plaza tol berkenaan.

“Lori tersebut dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok konkrit di tengah-tengah plaza tol.

“Kelindannya, lelaki warga Bangladesh berusia 42 tahun mengalami kecederaan di kepala dan muka, manakala pemandu disyaki melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, usaha mengesan pemandu berkenaan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621. PDRM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 30 saat yang memaparkan lori berkenaan bergerak dari lorong kiri ke kanan sebelum merempuh tembok konkrit.

Kejadian itu hampir mengakibatkan pelanggaran dengan sebuah kereta lain namun pemandunya sempat memberhentikan kenderaan pada saat akhir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button