Tiga pelajar maut, seorang cedera parah dalam kemalangan 3 motosikal di Melaka
MELAKA – Tiga pelajar sekolah meninggal dunia, termasuk seorang putus kaki, manakala seorang lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Tambak Paya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.02 pagi dan mengakibatkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun serta seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, kemalangan itu turut melibatkan seorang pemuda berusia 18 tahun yang mengalami kecederaan serius di kepala, kaki dan tangan, dan kini menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berumur 18 tahun yang menunggang Yamaha Y16 bersama pelajar lelaki berusia 15 tahun menunggang Yamaha 15 ZR sedang bergerak dari arah Bukit Katil ke Tiang Dua.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha 15 ZR yang ditunggang pelajar lelaki berumur 16 tahun dan membonceng pelajar perempuan berumur 16 tahun dari arah bertentangan, bertembung dengan kedua-dua motosikal itu.
“Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga pelajar terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemuda berumur 18 tahun cedera parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka, manakala mangsa cedera parah sedang dirawat di zon merah hospital sama.
Semua kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 9187).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








