BERITA SEMASADALAM NEGERI

Panahan petir hampir ragut nyawa bapa empat anak

JASIN – Cuaca buruk di Kampung Batang Melaka hampir meragut nyawa seorang bapa apabila disambar petir ketika berada di luar rumah ibu mentuanya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hafizuddin Mihat, 34, dipercayai berjalan keluar dari rumah menuju ke kereta dengan memegang payung ketika hujan lebat, sebelum petir menyambar sebatang pokok durian mati yang terletak berhampiran.

“Petir itu berlaku secara tiba-tiba menyebabkan dia terpelanting sebelum jatuh terduduk dalam keadaan bingung.

“Saya baru hendak tutup pintu kereta apabila terdengar bunyi kuat dan tiba-tiba saya rasa seperti dilambung. Bila sedar, saya sudah terduduk atas tanah dan nampak pokok durian itu pecah disambar petir,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambahnya, walaupun dalam keadaan terkejut, dia sempat melarikan diri ke beranda rumah kerana bimbang terkena panahan kedua.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di beranda, dia terus rebah akibat kesan renjatan yang dialami.

“Saya betul-betul fikir itu saat terakhir saya. Isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain semua panik dan menangis cuba bantu saya. Saya cuma mampu mengucap dalam hati,” katanya.

Bapa kepada empat anak berusia enam bulan hingga lapan tahun itu berkata, dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup walaupun berdepan insiden yang hampir meragut nyawanya.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak mengalami kecederaan serius kecuali rasa seperti terbakar pada kedua-dua ibu jari kaki.

“Saya anggap ini sebagai peringatan dan pengajaran besar dalam hidup. Sampai sekarang saya masih trauma dan serik untuk keluar rumah ketika hujan,” katanya.

Insiden tersebut menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika cuaca buruk, terutamanya ketika berlaku kilat dan petir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button