BERITA SEMASADALAM NEGERI

Suspek kes rogol pelajar di Melaka dibuang sekolah, duduki SPM di tempat lain

PUTRAJAYA – Empat pelajar lelaki yang terbabit dalam kes rogol bergilir seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka, dibuang sekolah serta-merta selepas keputusan dibuat oleh Lembaga Tata Tertib Sekolah hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, tindakan tegas itu menunjukkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku serius di institusi pendidikan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas hari ini, bagi memaklumkan perkembangan kes salah laku seksual yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu.

Mengulas mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Azam berkata, pelajar berkenaan tidak akan akan menduduki peperiksaan itu di sekolah mereka, sebaliknya mereka akan berada di tempat yang ditetapkan.

“Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan diberikan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal sebelum diheret masuk dan dirogol dua suspek, manakala dua lagi merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.

Kes berkenaan terbongkar apabila ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video insiden tersebut daripada pihak sekolah sebelum membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan usia bawah 18 tahun bukan alasan untuk pelaku terlepas daripada tindakan undang-undang kerana jenayah rogol tetap membawa pertuduhan berat.

Empat pelajar Tingkatan Lima itu kini direman enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button