BERITA SEMASA

Akmal Saleh cadang hukuman mati, penjara seumur hidup bagi pemandu mabuk ragut nyawa

KUALA LUMPUR – Cadangan agar hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian wajar dipertimbangkan secara serius demi memberi keadilan setimpal kepada mangsa.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pemergian Allahyarham Amirul Hafiz Omar semalam, yang dipercayai maut dirempuh pemandu mabuk, menjadi peringatan jelas tentang ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.

Menurutnya, insiden seumpama itu bukan terpencil apabila terlalu kerap nyawa insan tidak bersalah diragut akibat kecuaian individu yang memandu dalam keadaan mabuk.

“Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, Amirul Hafiz maut selepas dipercayai dirempuh seorang pemandu mabuk dalam satu kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta kira-kira itu berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi.

Susulan itu, suspek berusia lingkungan 20-an direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Akmal Saleh berkata, undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 masih belum cukup berkesan.

Justeru, beliau menegaskan sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih berani dan tegas kerana nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan kerajaan, termasuk pendakwaan di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk dengan hukuman lebih berat seperti penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa yang wajib ditanggung oleh pelaku, dan sekiranya tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.

Tambahnya, satu skim khairat kematian berpusat juga wajar diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi.

“Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama, malah lebih kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung,” katanya.

Beliau dalam pada itu menggesa Menteri Pengangkutan serta semua Ahli Parlimen tanpa mengira blok politik supaya segera membawa usul dan mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara tersebut.

“Tolong jangan tunggu lagi. Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?

“Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button