Pemandu mabuk, khayal dadah berdepan hukuman berat jika ragut nyawa
KUALA LUMPUR – Polis memberi amaran tegas bahawa mana-mana pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah hingga menyebabkan kematian bakal berdepan tindakan undang-undang paling berat, termasuk pertuduhan serius tanpa kompromi.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menegaskan, setiap kes kemalangan maut akan disiasat secara menyeluruh dan telus bagi memastikan keadilan kepada mangsa serta keluarga mereka.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian di jalan raya, khususnya melibatkan pemanduan berbahaya di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Pendekatan ini selaras dengan usaha berterusan JSPT dalam memperkukuh penguatkuasaan serta memberi mesej jelas bahawa kecuaian yang meragut nyawa tidak akan dibiarkan tanpa tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penegasan itu dibuat susulan kemalangan maut pada 29 Mac lalu kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Raya Barat, Klang yang melibatkan sebuah motosikal dan dua kenderaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan dipandu lelaki tempatan memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong, sebelum bertembung dengan motosikal.
Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu terbabit telah didakwa di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan semua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








