BERITA SEMASAPOLITIK

PAS Selangor cadang pampasan automatik kepada mangsa pemandu mabuk

SHAH ALAM – Kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang terus berulang membuktikan langkah sedia ada masih belum cukup berkesan untuk membendung gejala berkenaan, tegas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Menurut Dr Ab Halim, walaupun kerajaan telah meningkatkan hukuman terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, langkah tersebut masih belum memadai untuk memberi kesan pencegahan yang benar-benar kuat.

“Hukuman perlu diperketatkan lagi agar menjadi pengajaran jelas dan tegas kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan susulan kematian seorang penunggang motosikal dipercayai maut akibat dirempuh pemandu mabuk di alan Raya Barat, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta kira-kira itu berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi.

Susulan itu, suspek berusia lingkungan 20-an direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Justeru, Dr Ab Halim memandang serius serta berdukacita terhadap insiden berkenaan, sambil menegaskan kejadian seumpama itu bukan lagi terpencil.

Beliau menegaskan, keadilan kepada mangsa serta keluarga tidak boleh terus tertangguh, sambil mencadangkan agar pampasan diberikan secara automatik kepada keluarga mangsa sekiranya pemandu didapati bersalah tanpa perlu melalui proses saman sivil yang panjang.

Tambahnya, prinsip diyat juga boleh dipertimbangkan sebagai mekanisme tambahan dalam kerangka perundangan sedia ada, selari dengan nilai keadilan dan ihsan dalam Islam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan lesen memandu ditarik balik secara seumur hidup terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian sebagai langkah tegas melindungi keselamatan awam.

“Kerajaan disaran mewujudkan pangkalan data khas bagi individu yang dikenal pasti sebagai peminum tegar supaya pemantauan serta intervensi dapat dilaksanakan secara lebih sistematik,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan pendekatan pencegahan melalui penyediaan sistem sokongan termasuk kaunseling percuma dan program pemulihan bagi individu yang berdepan ketagihan alkohol.

“Keselamatan rakyat di jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan kerajaan perlu bertindak lebih tegas, menyeluruh serta berani dalam menangani isu ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button