Warga emas maut, pikap dihempap lori simen
SIBU – Seorang lelaki warga emas maut selepas pikap yang dipandunya dihempap sebuah lori simen yang terbalik dalam kemalangan jalan raya di Jalan Deshon, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Lee Teck Kee, 60, tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux selepas lori simen berkenaan hilang kawalan sebelum menghempap pikap terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami mendapati pikap berada dalam keadaan remuk teruk akibat dihempap lori simen, manakala mangsa masih berada di dalam kenderaan dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pasukan penyelamat menggunakan peralatan ‘air bag’ bagi membuka ruang untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit namun usaha awal tersebut gagal berikutan kedudukan lori yang menindih sepenuhnya pikap berkenaan.
“Dua buah kren milik pihak swasta kemudian dipanggil bagi mengangkat lori simen terbabit bagi membolehkan kerja-kerja menyelamat dijalankan,” katanya.
Mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








