BERITA SEMASA

Mayat remaja dibaham buaya ditemukan, beberapa anggota badan hilang

SEBUYAU – Mayat remaja lelaki berusia 14 tahun yang disambar buaya di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, kelmarin, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan beberapa anggota badan hilang.

Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, ditemukan kira-kira pukul 8 malam tadi, sekitar 800 meter dari jeti Kampung Tuba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penemuan itu susulan maklumat penduduk kampung yang melihat seekor buaya dipercayai mengonggong sesuatu di mulutnya kira-kira pukul 6 petang semalam.

Penduduk terbabit kemudian kembali ke lokasi selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Plaie sebelum menemukan mayat remaja itu, yang dipercayai ‘dilepaskan’ reptilia berkenaan.

“Penduduk kampung kemudian kembali ke lokasi kira-kira jam 8 malam sebelum menemukan mayat mangsa yang dipercayai dimuntahkan buaya berkenaan,” katanya.

Pemeriksaan awal mendapati beberapa anggota badan mangsa hilang, selain terdapat kesan gigitan dan kecederaan pada tubuhnya. Identiti mangsa disahkan oleh datuknya, Dana Randi, menerusi pengecaman fizikal.

Mayat mangsa kemudian dibawa polis ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, mangsa dilaporkan disambar buaya ketika memunggah buah kelapa sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin.

Kejadian itu disaksikan bapa saudaranya, Midin Radin, sebelum dimaklumkan kepada Ketua Kampung Sungai Plaie.

Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 4 pagi hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button