BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Remaja hilang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Satu, Kuala Baram

MIRI – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Batu Satu, Kuala Baram, petang semalam.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bahagian Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 5 petang selepas berita kehilangan mangsa dilaporkan oleh rakannya kepada ibu mangsa.

“Berdasarkan laporan, mangsa bersama tiga rakan mandi di pantai tersebut sejak pukul 4 petang. Ketika mereka leka berenang, mangsa tiba-tiba hilang daripada pandangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota penyelamat meninjau lokasi kehilangan seorang remaja yang dipercayai lemas di Pantai Batu Satu, Kuala Baram, petang semalam.

 

Mohd Khairol berkata, dua aset laut Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang turut melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).

Katanya, laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mencatatkan tiupan angin dari arah tenggara dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam, ombak setinggi 1 hingga 1.5 meter serta hujan di beberapa kawasan sekitar Miri semalam.

“Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga semasa melakukan aktiviti di laut dengan memakai jaket keselamatan. Jika cuaca buruk, elakkan turun ke laut untuk mengelakkan insiden tidak diingini,” katanya.

Sebarang maklumat atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Miri di 085-649 111, Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544 / 082-432 016, atau NG 999 untuk tindakan segera.

Operasi mencari seorang remaja yang dipercayai hilang dan lemas ketika mandi di Pantai Batu Satu, Kuala Baram, petang semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button