PENDAPATRENCANA

Kecuaian akibat mabuk: Khilaf yang meragut nyawa

‘Malang tidak berbau’. Itulah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan rentetan insiden kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk yang dilihat semakin berleluasa di Malaysia.

Pemandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah terus menjadi ancaman besar, malah sering kali mengorbankan nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Baru-baru ini, tular di media sosial dan juga berita di Malaysia mengenai satu kemalangan jalan raya yang melibatkan seorang lelaki berbangsa Melayu, maut akibat dilanggar oleh seorang pemandu mabuk di Jalan Raya Barat, Klang.

isteri
Balu Allahyarham Amirul Hafiz yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk, Nor Nadia Abdul Majid (kiri) bersama ibu mentuanya. 

Tragedi ini bukan sekadar meragut satu nyawa, tetapi menjadi titik hitam buat keluarga mangsa. Akibat kecuaian pihak lain, seorang ibu kehilangan anak, seorang isteri kini bergelar balu, manakala anak-anak kehilangan sosok seorang ayah dan tempat bergantung.

Sikap mementingkan diri sendiri ini jelas terpancar apabila pemandu terbabit sengaja mengendalikan kenderaan dalam keadaan separuh sedar disebabkan alkohol tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Lebih mengejutkan lagi, hasil siasatan mendapati suspek bukan sahaja berada di bawah pengaruh alkohol, malah turut mengambil bahan terlarang bagi tujuan berkhayal.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali mendedahkan bahawa sebanyak 58 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah direkodkan sepanjang dua tahun kebelakangan ini.

Hasbullah
Mohammed Hasbullah mendedahkan sebanyak 58 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sejak dua tahun lalu.

“Kes-kes ini kebanyakan berpunca daripada tingkah laku yang sebenarnya boleh dielakkan, justeru itu JSPT memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan,” katanya.

Saya sering terfikir setiap kali saya memandu pulang lewat malam selepas tamat tugasan, adakah jalan raya kita ini benar-benar selamat atau sebaliknya?

Melihat statistik yang dibentangkan oleh pihak berkuasa, membuatkan saya sedar bahawa angka ‘58 kes’ itu bukanlah sekadar angka, tetapi ia adalah nyawa individu tidak bersalah yang diragut.

Hakikatnya, undang-undang di Malaysia bukanlah sekadar hiasan di atas kertas.

Di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah yang menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk atau positif dadah akan berdepan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun serta denda mencecah RM100,000 manakala pesalah berulang boleh dikenakan hukuman lebih berat.

Selain itu, melalui penguatkuasaan ‘Op Mabuk’ yang dijalankan secara konsisten, pihak JSPT berjaya mengesan serta menahan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

mabuk
Salah seorang suspek yang didakwa di mahkamah kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah hingga menyebabkan kematian. 

Secara tidak langsung, operasi ini telah menyelamatkan ribuan nyawa pengguna jalan raya daripada menjadi mangsa kecuaian mereka.

Namun, sejauh manakah hukuman ini mampu menjentik rasa takut dalam diri pemandu kita atau adakah ini sekadar amaran bagi mereka?

Apabila pemanduan di bawah pengaruh alkohol mula dianggap sebagai ‘suatu kebiasaan’, maka dari situlah nyawa-nyawa pengguna jalan raya yang lain terancam.

Sebagai sebuah negara yang harmoni dengan kepelbagaian bangsa dan budaya, realiti yang perlu didepani masyarakat Malaysia adalah kemudahan akses terhadap minuman beralkohol terutama di kedai serbaneka.

Namun, kemudahan ini tidak sepatutnya disalahgunakan oleh masyarakat kerana ini bukanlah satu tiket percuma untuk bergembira sehingga mengabaikan keselamatan diri sendiri dan juga orang sekeliling.

Sudah tiba masanya kita mencontohi budaya luar tentang bagaimana mereka mendidik masyarakat berkenaan masalah ini. Antara alternatif yang mendapat perhatian global ialah penggunaan pemandu gantian.

Pemandu gantian adalah perkhidmatan di mana seorang pemandu profesional akan datang ke lokasi anda untuk memandu kenderaan anda pulang ke rumah dengan selamat.

Sebagai contoh, di Belgium, kempen ‘BOB’ telah menanam kesedaran di mana seorang individu dalam kumpulan yang tidak mengambil alkohol akan dilantik secara sukarela sebagai pemandu.

Walaupun masyarakat di Korea Selatan dan China lebih ramai yang mengambil alkohol, mereka menggunakan khidmat pemandu gantian atau lebih dikenali sebagai ‘Daeri Unjeon’ dan ‘Daijia’ sebagai norma dalam kehidupan mereka.

pemandu gantian
Seorang individu lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol menunggu ketibaan pemandu gantian yang menjadi budaya rakyat Korea Selatan demi menyelamatkan nyawa. – Foto The New York Times

Melalui inisiatif ini, mereka yang berada di dalam keadaan separuh sedar, tidak perlu lagi memandu kenderaan kerana sudah mendapat bantuan pemandu profesional untuk memandu kenderaan mereka pulang.

Persoalannya, adakah budaya pemandu gantian atau e-hailing ini praktikal di Malaysia? Jawapannya, ya.

Walaupun langkah ini menuntut anjakan kepercayaan untuk membiarkan orang asing memandu kenderaan peribadi, namun kos upah profesional ini jauh lebih kecil berbanding risiko kehilangan nyawa atau hukuman berat di bawah Seksyen 44.

Kajian oleh Journal of the American Association mendedahkan, perkhidmatan e-hailing mampu mengurangkan kes berkaitan pemandu mabuk sehingga 38.9 peratus di kawasan bandar.

Selain itu, langkah mengehadkan penjualan alkohol terhadap setiap individu juga dilihat sebagai salah satu langkah yang relevan bagi mengurangkan risiko pemanduan yang berbahaya.

Data dari World Health Organization (WHO) menyatakan bahawa mengehadkan waktu penjualan minuman beralkohol adalah salah satu daripada ‘Best Buys’ iaitu langkah paling kos-efektif untuk mengurangkan bahaya alkohol.

Jika bandar-bandar besar di luar negara mampu mencatatkan penurunan drastik melalui kawalan waktu penjualan, mengapa tidak kita?

Pada akhirnya, negara yang harmoni bukan sahaja diukur daripada kepelbagaian budayanya, tetapi pada sejauh mana masyarakat saling melindungi keselamatan antara satu sama lain.

ARTIKEL OLEH:

NADIA SABIHA MOHAMMED

NADIA SABIHA MOHAMMED

Penulis merupakan Pelajar Jurusan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button