Tiga persatuan pelancongan kesal kontroversi arak di majlis Global Travel Meet
KUALA LUMPUR – Tiga persatuan industri pelancongan melahirkan kekesalan susulan kontroversi tercetus berhubung penghidangan arak pada majlis makan malam sempena Global Travel Meet (GTM) baru-baru ini.
Persatuan terlibat ialah Malaysian Indian Travel & Tours Association (Mitta), Malaysian Inbound Chinese Association (Mica) dan Malaysia My 2nd Home Consultants Association (M2HCA).
Dalam kenyataan bersama, persatuan terbabit menjelaskan majlis pada 1 Oktober lalu itu dianjur serta dibiayai oleh pemain industri pelancongan, bukannya oleh Tourism Malaysia atau Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Jelasnya, kementerian dan Tourism Malaysia hanya menggunakan GTM sebagai platform untuk melancarkan kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Mitta, Mica dan M2HCA memahami sepenuhnya kontroversi yang timbul daripada majlis makan malam tersebut dan dengan ikhlas melahirkan kekesalan kami kepada kementerian dan Tourism Malaysia, khususnya kepada Menteri Tiong King Sing,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : PM tegur King Sing, MOTAC harap isu arak tidak berulang
Menurut kenyataan itu lagi, GTM telah mencapai kejayaan membanggakan apabila berjaya menjana impak ekonomi lebih RM420 juta, selain menghimpunkan lebih 600 pembeli antarabangsa dan lebih 100 media luar negara.
Kenyataan itu juga dikeluarkan bagi menepis maklumat tidak bertanggungjawab dan mengelirukan mengenai majlis berkenaan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, memuat naik video di Facebook yang mempersoalkan penghidangan minuman beralkohol pada acara kerajaan, mendakwa ia melanggar norma budaya serta perlembagaan.
Walau bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menafikan arak dihidangkan pada majlis makan malam yang dihoskan oleh kerajaan.
Beliau sebaliknya menjelaskan ia dianjurkan oleh rakan kongsi sektor swasta bagi meraikan acara pelancongan global pertama seumpamanya di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








