Tambang ECRL Gombak-Kota Bharu bermula RM125
KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menikmati perjalanan menaiki Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu dengan tambang bermula RM125 bagi perkhidmatan Transit kelas Ekonomi apabila laluan itu memulakan operasi komersial pada pertengahan Disember ini.
Tambang berkenaan membolehkan penumpang merancang perjalanan merentasi laluan sepanjang 523 kilometer yang menghubungkan Gombak di Selangor dengan Kota Bharu, Kelantan.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang ECRL pada 16 Oktober lalu berdasarkan mekanisme penetapan harga dinamik.
“Bagi perkhidmatan Ekspres untuk laluan sama, tambang ditawarkan pada harga bermula RM147.
“Tambang Transit bagi perjalanan dari Gombak ke Kuala Terengganu bermula RM95, manakala perkhidmatan Ekspres bagi laluan berkenaan bermula RM110,” menurut kenyataan itu.
Bagi perjalanan dari Gombak ke KotaSAS pula, tambang Transit bermula RM60, manakala perkhidmatan Ekspres bermula RM68.
Operasi komersial ECRL yang dijadualkan bermula pertengahan Disember ini dijangka menyediakan satu lagi pilihan pengangkutan rel bagi orang ramai yang ingin melakukan perjalanan antara Lembah Klang dengan Pantai Timur.
Untuk rekod, perjalanan antara Kota Bharu ke Gombak dijangka mengambil masa sekitar 4 jam, manakala perjalanan Kuala Terengganu–Gombak sekitar 3 jam dan Kuantan–Gombak sekitar 1 jam 35 minit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








