Wisma Putra pantau rapat insiden perlanggaran keretapi berkelajuan tinggi di Sepanyol
KUALA LUMPUR – Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau insiden perlanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi yang berlaku di selatan Sepanyol, semalam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di Cordoba serta pihak pengendali kereta api terbabit.
“Kementerian ingin memaklumkan bahawa buat masa ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi mengenai pembabitan rakyat Malaysia dalam insiden itu,” kata kenyataan itu.
Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid melalui talian +(34) 91 555 0684 atau +(34) 91 555 0737. Untuk kecemasan, orang ramai boleh menghubungi +(34) 659 89 49 43 atau emel kepada mwmadrid@kln.gov.my.
Menurut laporan media hari ini, dua kereta api berkelajuan tinggi tergelincir dan bertembung di selatan Sepanyol, menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas dari landasan dan jatuh ke cerun.
Kemalangan itu setakat ini meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa.
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente, ketika sidang media di stesen Atocha, Madrid, memaklumkan bahawa punca kemalangan masih belum dikenal pasti.
Kemalangan berlaku berhampiran Adamuz, wilayah Cordoba, kira-kira 360 kilometer selatan Madrid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








