Anwar akui kelemahan pelaburan KWAP di Jakarta
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan dalam proses pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Jakarta, Indonesia, susulan pelaburan yang terjejas akibat penipuan syarikat teknologi akuakultur, eFishery.
Beliau berkata, kelemahan itu berlaku apabila keputusan pelaburan terlalu bergantung pada trend antarabangsa dan panduan institusi luar, termasuk SoftBank serta beberapa syarikat besar dari Eropah dan Jepun.
Menurutnya, reputasi institusi pelaburan antarabangsa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan penelitian dan tanggungjawab dalam menguruskan dana persaraan rakyat.
“Dalam kes ini, kita bergantung pada SoftBank dan beranggapan mereka tidak mungkin membuat pelaburan secara cuai, tetapi kenyataannya begitu.
“Saya akuilah (terdapat kelemahan), tetapi tidak boleh menafikan keberhasilan KWAP keseluruhannya yang mencatat keuntungan lumayan. Itu yang nyata. Tetapi kelemahan itu juga harus kita akui,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Ronald meminta penjelasan berhubung kerugian besar dalam pelaburan KWAP, termasuk langkah kerajaan mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta penambahbaikan bagi memperketat proses pelaburan dana awam bagi mengelakkan kerugian pada masa hadapan.
Sebelum itu, KWAP dilaporkan melabur hampir RM200 juta dalam eFishery, sebuah syarikat pemula teknologi akuakultur dari Indonesia yang terpalit dengan skandal penipuan dan manipulasi laporan kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








