BERITA SEMASA

Tiada kuota kelulusan PSAG, calon dinilai berdasarkan merit

KUALA LUMPUR – Tiada kuota ditetapkan bagi kelulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG), sebaliknya calon dinilai berdasarkan merit dengan markah lulus minimum 40 bagi setiap mata pelajaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kadar kelulusan yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan peperiksaan utama PSAG 2026 dan belum mengambil kira keputusan peperiksaan tambahan yang dijadualkan pada 21 Oktober ini.

Menurutnya, keputusan keseluruhan PSAG 2026 hanya akan diumumkan pada November selepas keputusan peperiksaan tambahan diperoleh dan diluluskan oleh lembaga berkenaan.

“Secara umumnya, sebab-sebab kegagalan calon PSAG adalah majoriti calon yang menduduki peperiksaan itu merupakan graduan luar negara yang mempelajari Common Law atau undang-undang di negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand.

“Apabila kembali ke Malaysia, mereka perlu menduduki PSAG yang merupakan peperiksaan profesional mengenai undang-undang di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batu Gajah, Dr Sivakumar Varatharaju Naidu, mengenai penurunan peratusan calon yang lulus PSAG setiap tahun di Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran berkata, antara faktor kegagalan calon ialah persediaan yang kurang menyeluruh terhadap undang-undang Malaysia, selain kelemahan mengenal pasti isu dalam soalan serta mengemukakan peruntukan undang-undang dan kes berkaitan.

Jelasnya, PSAG merupakan peperiksaan profesional yang berbeza daripada peperiksaan ijazah undang-undang kerana calon, khususnya graduan luar negara, perlu menguasai undang-undang yang terpakai di Malaysia sebelum layak menjalankan amalan guaman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button