PMX

Anwar dijadual adakan empat pertemuan dua hala di Sidang Kemuncak BRICS

NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan empat pertemuan dua hala dengan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS hari ini, di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini.

Menurut laporan BERNAMA, pertemuan berkenaan dimulakan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, sebelum Anwar mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India yang juga tuan rumah sidang kemuncak itu, Narendra Modi.

Pertemuan dua hala ketiga beliau adalah dengan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed.

Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Selain agenda diplomatik, Anwar turut dijadual menghadiri beberapa sesi pertemuan perniagaan dengan pemain industri utama India.

Antaranya termasuk Adani Group, yang menyasarkan sebagai peneraju pasaran dalam portfolio perniagaan logistik pengangkutan dan utiliti tenaga, dengan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur berskala besar di India.

Turut dijadualkan ialah pertemuan dengan Segula Technologies India Pvt Ltd, sebuah kumpulan kejuruteraan global; AWL Agri Business Ltd, antara syarikat makanan dan barangan pengguna bergerak cepat terbesar di India serta Motherson Group, sebuah syarikat pakar global terkemuka dalam bidang reka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, pemasangan dan logistik.

Kemudian, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam gala untuk para pemimpin negara anggota, negara rakan dan negara jemputan BRICS di Bharat Mandapan, iaitu pusat pameran dan konvensyen yang menjadi lokasi berlangsungnya sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak itu yang bertemakan ‘Membina Daya Tahan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’, akan menumpukan kepada pengukuhan daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan.

Sebagai negara pengasas BRICS, India sebelum ini telah memegang jawatan pengerusi sebanyak tiga kali pada 2012, 2016 dan 2021.

India mengambil alih jawatan pengerusi BRICS keempat pada 1 Januari 2026, manakala penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS adalah atas kapasitinya sebagai negara rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button