Lawatan YDPA ke Rusia perkukuh hubungan dua hala – PM
KUALA LUMPUR – Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Rusia dari 5 hingga 10 Ogos ini disifatkan sebagai satu detik bersejarah yang mempunyai kepentingan besar dalam memperkukuh hubungan diplomatik dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi tersebut bukan sahaja mencerminkan hubungan erat kedua-dua negara, malah menyerlahkan peranan Institusi Diraja sebagai pemacu diplomasi antarabangsa yang dihormati dunia.
“Lawatan itu melambangkan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai lambang perpaduan nasional dan turut memainkan peranan strategik dalam memperkukuh hubungan luar Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang turut mengiringi Seri Paduka Baginda ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat berkata, lawatan atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin itu membuka lembaran baharu dalam kerjasama Malaysia-Rusia yang semakin berkembang.
Menurut beliau, lawatan itu dijangka merancakkan pelbagai bentuk kerjasama strategik melibatkan perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi, selain memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Malaysia berpotensi menarik pelaburan dan teknologi baharu daripada Rusia khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan serta pertanian pintar sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI yang menekankan aspek daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” jelas beliau.
Tambah Anwar, lawatan itu turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali, terbuka dan progresif dalam arena antarabangsa sekaligus meneguhkan kedaulatan negara.
“Lebih penting, ia menyerlahkan peranan Institusi Diraja sebagai entiti diplomatik yang diyakini dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment