BERITA SEMASA

AMLA bekukan aset RM4.3 bilion sejak 2022

KUALA LUMPUR – Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) membekukan aset berjumlah RM4.3 bilion, menyita RM1 bilion dan melucut hak RM48.3 juta bagi tempoh 2022 hingga September lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AMLA turut mengenakan kompaun berjumlah RM1.1 bilion dalam usaha membanteras kegiatan pengubahan wang haram serta salah guna kuasa berkaitan aktiviti perniagaan dan korporat.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan itu meliputi pelbagai kesalahan termasuk manipulasi pasaran saham, pelanggaran keperluan pendedahan korporat dan kegiatan pinjaman wang haram yang disertai ugutan.

“AMLA sejak 2022 hingga September 2026 telah berjaya membekukan jumlah RM4.3 bilion, menyita RM1 bilion, melucut hak RM48.3 juta dan kompaun RM1.1 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meningkatkan tindakan penguatkuasaan sejak 2023 dengan memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu.

“SC turut meneruskan siasatan terhadap beberapa urus niaga korporat termasuk kes membabitkan Serba Dinamik dan Sarawak Consolidated,” katanya lagi.

Mengulas operasi membanteras pengubahan wang haram, Anwar berkata, seramai 70 individu disiasat menerusi Op Viking sehingga 2026.
Operasi itu turut menyaksikan tindakan pembekuan dan penyitaan terhadap lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun termasuk akaun dagangan saham dan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), serta 404 akaun bank yang mengandungi RM85.6 juta.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan aset dan wang yang berjaya diperoleh semula menerusi usaha Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan mencecah RM37.53 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM28 bilion digunakan untuk menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan mengetepikan kes yang melibatkan salah guna kuasa dan pelanggaran undang-undang dalam sektor perniagaan serta korporat.

Menurutnya, tindakan lanjut bergantung pada proses siasatan dan pendakwaan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, termasuk pertimbangan sama ada sesuatu kes sesuai diumumkan kepada umum.

Beliau turut menekankan kepentingan ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan agensi penguat kuasa bagi memastikan tindakan dilaksanakan secara bertanggungjawab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button