Semua maklumat jenayah korporat perlu didedahkan – Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah korporat, sebaliknya semua maklumat yang diperoleh perlu didedahkan dan disiasat tanpa pengecualian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara telus tanpa campur tangan politik.
Menurutnya, terdapat kritikan terhadap tindakan kerajaan dalam isu berkaitan korporat, namun kes jenayah korporat yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit sebelum ini juga perlu diberikan perhatian.
“Pendirian kita, apa sahaja maklumat yang diperoleh, tanpa kecuali harus didedahkan dan dijalankan siasatan seperti diperlukan.
“Ini berbeza daripada tohmahan biasa tanpa bukti yang jelas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, pindaan undang-undang yang dicadangkan ketika ini hanya membabitkan syarikat dan agensi milik kerajaan menerusi Akta Perusahaan Milik Kerajaan (SOE) yang dijangka dibentangkan di bawah Kementerian Kewangan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada berkaitan penguatkuasaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini dianggap mencukupi.
Menjawab mengenai kerjasama dengan badan antarabangsa dalam membanteras jenayah kewangan, beliau berkata, agensi penguat kuasa negara sememangnya menjalin kerjasama sedemikian memandangkan kegiatan berkenaan sering merentasi sempadan negara.
“Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) 2025 turut memberikan penilaian tinggi terhadap Bank Negara Malaysia dan langkah yang diambil negara dalam usaha membanteras pengubahan wang haram,” katanya.
Anwar turut membangkitkan kes Serba Dinamik yang menurutnya membabitkan kerugian kepada rakyat atau pemegang saham sehingga RM34 bilion.
Beliau mendakwa, siasatan terhadap kes itu sebelum ini pernah diminta dihentikan, namun menegaskan kerajaan kini berpegang pada prinsip tidak mencampuri urusan penyiasatan.
Menurutnya, komitmen politik yang jelas diperlukan bagi memastikan setiap kesalahan disiasat tanpa mengira pihak yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







