BERITA SEMASA

PM janji bawa isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot kepada kerajaan negeri Pahang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membangkitkan isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang kepada kerajaan negeri.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan ia berada di bawah bidang kuasa negeri.

“Saya sempat berhubung menerusi telefon dengan wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran yang hadir di kediaman saya petang tadi.

“Saya mendengar permasalahan yang dihadapi mereka terkait pertikaian tanah selain penahanan tiga penduduk Orang Asli dari kampung mereka.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak polis,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu Anwar turut memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan perkara itu sebaliknya diselesaikan secara adil dan berhemah mengikut lunas undang-undang.

Isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.

Pertikaian itu dipercayai membabitkan tanah diusahakan penduduk Orang Asli, namun kawasan berkenaan dilaporkan mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat.

Susulan pertikaian itu, tiga penduduk Orang Asli dilaporkan ditahan polis bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button