8 maut dalam rempuhan keretapi di Bangkok
BANGKOK – Lapan maut manakala 35 lagi cedera termasuk dua parah selepas sebuah kereta api barang merempuh sebuah bas awam di lintasan kereta api berhampiran Stesen Makkasan Airport Rail Link di sini petang semalam.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang di Jalan Asok-Din Daeng itu melibatkan bas milik Bangkok Mass Transit Authority (BMTA) yang beroperasi antara Universiti Kasetsart dan Mega Bangna.
Bas berkenaan terbakar sejurus dirempuh sebelum diseret kira-kira 50 meter di sepanjang landasan.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, keretapi barang yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Laem Chabang ke Bang Sue itu merempuh bas berkenaan selepas ia terperangkap di atas landasan akibat kesesakan lalu lintas.
Timbalan Menteri Pengangkutan Thailand, Siripong Angkasakulkiat berkata, siasatan awal mendapati bas tersebut berhenti ketika lampu isyarat merah dalam keadaan sebahagiannya berada di atas landasan kereta api.
Menurut beliau, kedudukan bas itu menyebabkan palang keselamatan lintasan gagal diturunkan sepenuhnya.
“Kereta api itu membawa kontena dan berada dalam keadaan berat menyebabkan ia tidak sempat membrek sebelum pelanggaran berlaku,” katanya.
Beberapa saksi mendakwa palang lintasan dipercayai mengalami kerosakan beberapa saat sebelum kejadian.
Rakaman video yang tular di media sosial turut menunjukkan palang lintasan berada dalam keadaan terangkat ketika nahas berlaku.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti rakaman komunikasi radio antara pengendali palang dan pemandu kereta api susulan laporan mendakwa amaran mengenai kenderaan yang menghalang landasan tidak dijawab.
Dalam kejadian itu, api marak dengan pantas dan beberapa letupan kecil turut kedengaran ketika anggota bomba berusaha memadam kebakaran.
Bas yang diseret selepas rempuhan turut melanggar beberapa kereta dan motosikal berhampiran sebelum kenderaan terbabit turut terbakar.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 4petang.
Pasukan penyelamat menemui lapan mayat di dalam bas yang hangus terbakar sebelum dibawa ke Hospital Polis untuk proses pengecaman.
Menurut polis, seramai 35 individu termasuk penumpang kereta dan penunggang motosikal cedera dengan dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Kawasan sekitar lintasan kereta api itu kini ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















