2 maut, seorang cedera jatuh dari ‘skylift’
SUBANG JAYA – Dua lelaki maut, manakala seorang lagi cedera akibat terjatuh dari jentera ‘skylift’ ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah pangsapuri, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian talian panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira pukul 3.50 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, tiga lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen berkenaan.
“Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Wan Azlan, kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift.
“Ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan lebat dan semua mangsa berusia antara 38 hingga 46 tahun,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Jasad mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















