Lima rakyat Malaysia cedera ringan dalam kemalangan bas pelancong di Tokyo
KUALA LUMPUR – Lima rakyat Malaysia dilaporkan cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah bas pelancong di Lebuh Raya Chuo, Hachioji, barat Tokyo, Jepun semalam.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku sekitar pukul 10.15 pagi berhampiran pintu masuk Terowong Kobotoke.
Menurut Wisma Putra, kejadian itu melibatkan dua buah bas yang membawa seramai 47 penumpang, kebanyakannya pelancong asing yang dalam perjalanan dari Stesen Tokyo menuju ke Tasik Kawaguchi di Wilayah Yamanashi.
“Lima rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mereka telah menerima rawatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital sebelum dibenarkan keluar dan kembali ke hotel,” katanya semalam.
Tambah kenyataan itu, berdasarkan maklumat pihak berkuasa tempatan, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah bas melanggar bahagian belakang bas yang berada di hadapan.
Menurut laporan Bernama tiada kecederaan yang mengancam nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, portal Dimsum Daily dari Hong Kong turut melaporkan bahawa kedua-dua bas yang terlibat merupakan sebahagian daripada kumpulan pelancong sama yang membawa pelancong dari Hong Kong, Malaysia, Singapura dan Taiwan.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapat perkembangan kejadian tersebut dan bersedia memberikan bantuan konsular yang diperlukan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














