BERITA SEMASA

Lesen pengendali syarikat pengangkutan terlibat kemalangan korbankan bayi di Kajang digantung serta-merta

PUTRAJAYA – Lesen pengendali syarikat pengangkutan yang terlibat dalam kemalangan melibat empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu lalu sehingga mengakibatkan seorang bayi maut dibatalkan serta-merta.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, sehubungan itu syarikat LDT Metal Trading tidak dibenarkan untuk mengendali atau mengadakan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali berkenaan.

“APAD memandang serius insiden kemalangan sebuah lori muatan barangan lusuh membabitkan empat kenderaan lain yang mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh yang lain.

“Hasil siasatan, APAD mendapati LDT Metal Trading gagal dalam memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), maka APAD dengan ini membatalkan lesen pengendali LDT Metal Trading berkuat kuasa 2 Oktober,” kata APAD dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, APAD turut mengingatkan semua pengendali berlesen untuk sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian pembatalan lesen pengendali.

“APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Kemalangan yang berlaku Sabtu lalu melibatkan sebuah lori tiga tan membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.

Kemalangan yang dipercayai berpunca daripada lori yang mempunyai masalah brek itu menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut, manakala tujuh individu cedera.

Pemandu lori berusia 42 tahun mengaku melompat keluar dari kenderaan dipandunya sebelum nahas berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Check Also
Close
Back to top button