Polis pengiring konvoi delegasi Sidang ASEAN patah kaki kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda
KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika dalam tugas mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kilometer (KM) 22.3 susur keluar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil arah utara Lebuhraya Elite, hari ini.
Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, kejadian berlaku pukul 1.10 tengah hari tadi ketika anggota terbabit menjalankan tugas sebagai pengiring konvoi rasmi.
“Mangsa berpangkat Koperal berusia 35 tahun yang menunggang motosikal Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) patah kaki kiri serta cedera di pergelangan kaki dan lutut kiri.
“Mangsa dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut,” katanya, hari ini.
Beliau menambah, punca kemalangan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap arahan pergerakan pasukan konvoi sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan anggota yang menaiki motosikal dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda di laluan kiri lebuh raya berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment