Mahkamah Tinggi Syariah sahkan dua beradik mati lemas beragama Islam
PORT DICKSON – Status agama dua beradik yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke Sungai Linggi, Tanjung Agas di sini minggu lalu selesai apabila Mahkamah Tinggi Syariah Seremban mengesahkan mereka beragama Islam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan status agama kanak-kanak terbabit dibuat dalam satu sesi pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, hari ini.
“Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan bahawa kedua-dua mangsa adalah beragama Islam dan diperintahkan dikebumikan mengikut cara Islam.
“Jadi, pengebumian mangsa akan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak waris juga telah mewakilkan kepada JHEAINS untuk menuntut jenazah mangsa.
Laporan media sebelum ini menyebut, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang mengenal pasti status agama dua beradik berkenaan.
Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah dipetik sebagai berkata, pemeriksaan itu susulan permohonan pihak polis berdasarkan dokumen peribadi mangsa.
Dua beradik berkenaan ditemukan meninggal dunia minggu lalu selepas kereta Nissan Teana dinaiki mereka bersama ibu dan bapa terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








