Suami isteri cedera selepas MPV rempuh sekumpulan gajah liar di LPT2
CHUKAI – Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu menyebabkan pemandu, Abdul Wahid Ismail, 55, mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri, manakala isterinya, Fauziah Muda, 52, cedera pada tangan kanan.
Menurut beliau, ketika kejadian pasangan terbabit sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah, Kemaman dari arah Kuantan, Pahang.
“Siasatan awal mendapati mangsa memandu Toyota Estima di lorong kiri sebelum tiba di lokasi kejadian dan mendapati sekumpulan gajah liar berada di laluan tersebut.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan gajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Zubaderi Zahari berkata, seramai lapan anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit serta memberikan rawatan awal.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








