JENAYAH & MAHKAMAH

Buruh ladang maut selepas empat hari bertarung nyawa, dirempuh lori dipandu remaja 15 tahun

KUANTAN – Seorang buruh ladang warga Indonesia yang bertarung nyawa selama lebih empat hari selepas dirempuh dan dihempap sebuah lori dipandu remaja berusia 15 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Hendrawan, 24, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.45 petang pada Sabtu lalu di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin, membabitkan sebuah lori dan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu remaja lelaki berusia 15 tahun itu datang dari arah Perumahan Ladang Kilang Kosma menuju ke kawasan pembinaan Ladang Kosma.

“Setibanya di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu menghempap mangsa yang sedang menunggang motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pembonceng motosikal yang juga warga Indonesia berusia 24 tahun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan serius.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah segera dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia hari ini.

Dalam kejadian sama, pemandu lori mengalami kecederaan pada tangan serta kaki kanan, manakala penumpang lori berusia 17 tahun cedera pada bahagian mata kiri.

Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori mengawal kenderaan sehingga menyebabkan lori terbabas.

“Hasil semakan turut mendapati pemandu lori mempunyai lima saman atas pelbagai kesalahan trafik, manakala lori dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

“Pemandu lori telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button