BERITA SEMASA

Malaysia kekal bebas antraks sejak 1976 – DVS

PUTRAJAYA – Malaysia kekal bebas daripada penyakit antraks sejak kes terakhir dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) pada tahun 1976, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Dalam satu kenyataan hari ini, DVS memaklumkan tiada sebarang laporan penyakit antraks diterima di negara ini sehingga kini.

Namun, pihaknya memandang serius insiden jangkitan antraks di Thailand yang mengakibatkan satu kematian manusia pada 1 Mei lalu, seperti dilaporkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Thailand.

Kes tersebut dikaitkan dengan penyembelihan lembu dan pengambilan daging mentah di Daerah Don Tan, Mukdahan, yang terletak berhampiran sempadan Laos.

“DVS kekal berwaspada dan telah meminta jaminan daripada Thailand bahawa tiada haiwan atau produk haiwan dari kawasan berisiko tinggi antraks dieksport ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Antraks disebabkan oleh bakteria Bacillus anthracis dan merupakan penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti haiwan serta manusia melalui kontak langsung dengan spora bakteria tersebut.

Penyakit itu boleh membawa maut dan menyebabkan kematian mengejut serta demam tinggi dalam kalangan ternakan.

Sebagai langkah pencegahan, penternak dinasihatkan agar segera melaporkan sebarang tanda klinikal mencurigakan kepada pihak DVS.

DVS turut meminta pihak berkuasa Thailand memaklumkan status terkini serta langkah kawalan dan pelan kontingensi yang diambil susulan kes antraks itu, memandangkan Malaysia mengimport lembu dan kerbau hidup dari negara tersebut.

“Semua ternakan yang memasuki negara ini tertakluk kepada pemeriksaan veterinar ketat sebelum dibenarkan masuk,” menurut kenyataan itu.

Bagi memperkukuh langkah kawalan, DVS terus menjalankan pemantauan dan menyeru penternak agar meningkatkan tahap biosekuriti ladang, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button