Malaysia berpotensi jadi hab industri digital global
KUCHING – Malaysia berpotensi besar menjadi hab industri kreatif digital dan permainan video peringkat global sekiranya pelaburan serta sokongan berterusan diberikan kepada bakat tempatan dalam sektor tersebut.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, program Jelajah Malaysia Digital (JMD) yang dianjurkan oleh Kementerian Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menunjukkan sambutan luar biasa khususnya dalam kalangan golongan muda di Sarawak.
“Kita lihat ramai anak muda yang terlibat dan menunjukkan minat dalam industri ini.
“Ia satu sektor yang sangat menarik dan memberikan peluang kepada negara untuk menonjolkan bakat-bakat tempatan dalam bidang digital kreatif,” katanya dalam sidang media selepas program berkenaan di sini hari ini.
Gobind berkata, berdasarkan perkembangan positif yang ditunjukkan, beliau mencadangkan agar satu acara digital berskala global dianjurkan di Malaysia, khususnya di Sarawak.
“Saya telah cadangkan dalam ucapan supaya kita anjurkan satu acara global pada awal tahun depan di Sarawak yang menghimpunkan pemain industri digital daripada seluruh dunia.
“Ini peluang untuk menunjukkan keupayaan kita dan membuka ruang kerjasama antara bakat tempatan dan pemain industri antarabangsa,” katanya lagi.
Tambah beliau, cadangan itu telahpun mendapat maklum balas positif daripada Premier Sarawak dan kementerian akan meneliti keperluan untuk menjadikan acara tersebut sebagai platform tetap tahunan.
“Kalau kita lihat sekarang, ramai dari Malaysia yang membawa produk animasi dan permainan video ke luar negara serta mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Sebab itu saya lihat penting untuk kita memperluas acara seperti ini dan menjadikan Malaysia sebagai hab industri ini. Itu adalah matlamat saya,” katanya lagi.
Program Jelajah Malaysia Digital bertujuan memperkukuh ekosistem digital tempatan serta merangsang penyertaan belia dalam ekonomi digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















