Menara Rezeki meterai MoU bersama CIDB Holdings, jalin usaha sama dengan JC Logistics
KUALA LUMPUR – Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB), syarikat bumiputera bertaraf G7 yang berpengalaman mengendalikan pelbagai projek berprofil tinggi di seluruh negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CIDB Holdings Sdn Bhd serta Perjanjian Usaha Sama (JVA) bersama JC Logistics Sdn Bhd.
Langkah strategik itu bertujuan memperkukuh kedudukan dan rangkaian perkhidmatan syarikat dalam sektor pembinaan serta logistik, khususnya bagi pengurusan kemasukan bahan binaan dari China secara bersistematik, terkawal dan berkesan.
Pengarah Urusan MRSB, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusof berkata, usaha itu bakal menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif baharu dalam industri pembinaan, selaras dengan agenda transformasi sektor berkenaan di Malaysia.
Menurut beliau, kerjasama dengan CIDB Holdings bakal memperkukuh aspek pengujian, persijilan dan standard bahan binaan manakala kolaborasi bersama JC Logistics pula mampu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan serta logistik.
“Gabungan kepakaran CIDB Holdings, Menara Rezeki dan JC Logistics diyakini akan mewujudkan ekosistem industri pembinaan yang lebih mampan, cekap dan kompetitif.
“Manfaatnya bukan hanya untuk ketiga-tiga pihak, tetapi juga pemain industri di seluruh negara,” katanya selepas majlis menandatangani MoU dan JVA berkenaan di Hotel Teedo, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Zainora Zainal; Pengarah Eksekutif Menara Rezeki, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan Ketua Pegawai Eksekutif JC Logistic Management Sdn Bhd, Zhong Zhenyu.
Saiful Nizam berkata, MRSB yang ditubuhkan pada 2002 kini berkembang pesat dengan penglibatan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, hospitaliti, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, kesihatan dan teknologi.
Manakala JC Logistics pula merupakan pakar dalam pengurusan logistik dan rantaian bekalan binaan secara sistematik dari China yang menawarkan perkhidmatan secara cekap dan terkawal, mengurangkan kos, masa dan risiko gangguan perdagangan.
Kerjasama bersejarah itu katanya lahir daripada lawatan kerja ke China International Import Exhibition (CIIE) pada tahun lalu yang membuka peluang kepada teknologi pembinaan baharu dari China.
“Teknologi ini mampu memendekkan tempoh projek, mengurangkan pembaziran, menjimatkan kos penyelenggaraan, serta meningkatkan keselamatan tapak binaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CIDB Holdings, Zainora Zainal menegaskan bahawa peranan utama agensi itu adalah memastikan semua bahan binaan mematuhi standard keselamatan dan kualiti, di samping meningkatkan ketelusan serta penjimatan kos industri melalui platform ASSURE.
Katanya, kerjasama strategik itu membolehkan semua pihak memanfaatkan kepakaran masing-masing khususnya dalam pematuhan standard yang ditetapkan kerajaan (CIDB), pengurusan projek serta inovasi (Menara Rezeki) manakala JC Logistics dalam memastikan logistik yang lebih efisien.
Usaha bersama itu juga katanya selari dengan Dasar Ekonomi Madani dan NIMP 2030 yang menekankan transformasi industri berasaskan teknologi digital, AI, 5G dan IoT, sekali gus menjadikan sektor pembinaan negara lebih mampan, berdaya saing dan berwibawa di peringkat global.
Beliau menegaskan, gabungan kepakaran MRSB, CIDB Holdings dan JC Logistics diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan industri pembinaan lebih mampan, sejajar Dasar Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
“Perjanjian ini bukan sekadar dokumen, tetapi titik tolak kepada perubahan struktur industri – menjadikannya lebih efisien, kompetitif dan diyakini pasaran global,” jelas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








