BERITA SEMASADALAM NEGERI

Malaysia–Turkmenistan perkukuh kerjasama pertanian, teroka peluang baharu

PUTRAJAYA– Malaysia dan Turkmenistan bersetuju memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian susulan kunjungan hormat Duta Besar Turkmenistan ke Malaysia, Muhammetnyyaz Mashalov kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk meneroka potensi kerjasama baharu di samping mengukuhkan hubungan perdagangan sedia ada dalam sektor pertanian.

“Sehingga Disember 2025, nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan Turkmenistan direkodkan sebanyak RM58.74 juta, merangkumi eksport produk seperti kopi, koko, teh dan rempah-ratus.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas akses pasaran bagi produk pertanian tempatan serta meningkatkan perdagangan dua hala demi manfaat bersama,” katanya.

Perbincangan juga memberi tumpuan kepada kerjasama strategik dalam pengurusan sumber air pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemodenan sektor pertanian secara menyeluruh.

Usaha itu dilihat penting bagi menangani cabaran perubahan iklim dan memperkukuh agenda keterjaminan makanan di peringkat global.

Dalam perkembangan sama, Malaysia turut menjemput Turkmenistan untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang.

Acara kali ini membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Kunjungan itu turut disertai oleh pegawai kanan KPKM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button