
SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur hujung Oktober ini dijangka menjadi antara sidang terpenting dalam sejarah blok serantau apabila isu kemanusiaan di Myanmar dijangka menjadi antara tumpuan utama perbincangan.
Krisis berpanjangan yang tercetus sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan lebih sejuta rakyat Myanmar melarikan diri ke negara jiran.
ASEAN kini berdepan ujian getir untuk membuktikan keberkesanan pendekatan diplomasi damainya dalam mencari penyelesaian berasaskan konsensus.
Sebagai pengerusi sidang kali ini, Malaysia berada pada posisi penting untuk memacu penyelesaian berpaksikan undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan nilai kolektif ASEAN berteraskan keamanan dan kestabilan serantau.
Ketua Penyelidik Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, Malaysia kini memainkan peranan besar dalam membawa isu Myanmar kembali ke meja rundingan ASEAN.
“Malaysia memang memainkan peranan besar sekarang. Lebih-lebih lagi apabila negara bertanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Dalam isu Myanmar, Malaysia antara negara yang paling lantang bersuara. Kita tak mahu ASEAN nampak lemah atau buat-buat tak nampak krisis kemanusiaan.
“Malah kita antara yang awal desak junta tentera hentikan kekerasan dan mula rundingan dengan semua pihak termasuk National Unity Government (NUG) dan kumpulan etnik minoriti,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pendirian Malaysia dalam isu ini bukan sekadar retorik politik, sebaliknya berdasarkan pengalaman sebenar menangani implikasi kemanusiaan secara langsung.
“Malaysia bercakap bukan sekadar teori. Kita bercakap dari pengalaman sebenar menangani implikasi kemanusiaan itu.
“Kita sudah menanggung sebahagian besar pelarian Rohingya sejak krisis itu bermula dan ini memberi Malaysia hak moral untuk bersuara di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Kepimpinan Malaysia di Tengah Ketidaktentuan Dunia
Isu Myanmar bukan sahaja menguji perpaduan ASEAN, tetapi juga mencerminkan sejauh mana blok ini mampu bertindak secara kolektif tanpa tunduk kepada tekanan geopolitik kuasa besar.
Dalam konteks ini, kepimpinan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat memainkan peranan penting untuk memulihkan kredibiliti ASEAN di mata dunia.
Dalam kenyataannya baru-baru ini, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku di Myanmar dan menyeru ASEAN mengambil pendekatan lebih tegas dan berani.
“ASEAN perlu menunjukkan bahawa ia sebuah komuniti yang mempunyai hati nurani dan keberanian moral,” tegas beliau.
Pendirian itu seiring dengan hasrat Malaysia untuk melihat ASEAN bergerak ke arah yang lebih tegas, berprinsip dan tidak sekadar menjadi pemerhati pasif kepada konflik dalaman anggotanya sendiri.
Lima Konsensus dan Cabaran Pelaksanaannya
Sejak tahun 2021, ASEAN telah mengusulkan Lima Konsensus ASEAN bagi menangani krisis Myanmar termasuk menghentikan keganasan, memulakan dialog antara semua pihak dan memberi akses kemanusiaan tanpa sekatan.
Namun, selepas hampir empat tahun, pelaksanaan pelan itu masih terbantut akibat keengganan junta tentera mematuhinya.
Beberapa negara termasuk Malaysia dan Indonesia telah mendesak agar pendekatan itu dikaji semula dengan memberi ruang kepada pihak lain seperti NUG dan pertubuhan masyarakat sivil untuk turut serta dalam proses damai.
Malaysia antara negara terawal yang menyuarakan keperluan untuk “engagement baharu yang lebih inklusif”dengan menggesa ASEAN tidak terus bergantung pada formula lama yang terbukti gagal menamatkan konflik.
Justeru, sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sekadar platform perbincangan dasar tetapi medan ujian sebenar terhadap keupayaan Malaysia sebagai pengerusi yang berprinsip dan berani.
Di bawah kepimpinan Anwar, ASEAN diharap bukan sahaja kekal bersatu tetapi turut menjadi blok yang berprinsip, dihormati dan berpengaruh di pentas dunia sekali gus membawa suara keamanan dari Asia Tenggara ke seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








