TDM sahkan anggotanya cedera terkena tembakan ketika latihan
SEREMBAN – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera selepas terkena tembakan ketika menjalani latihan menembak di Lapang Sasar 75 Meter, Menyala, Port Dickson, pada Rabu.
TDM berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika anggota berkenaan, Truper (Tpr) Muhammad Akhmal Shahrudin, menjalani latihan sebagai persiapan pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD).
“Seorang lagi anggota ketika kejadian melaksanakan latihan kering sebelum melepaskan tembakan ke sasaran pada jarak 25 meter tanpa menyedari Muhammad Akhmal masih berada di belakang sasaran.
“Akibat kejadian itu, anggota berkenaan mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan sehingga menembusi ke rahang bawah kiri.
“Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendapatkan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan dalaman dan keadaan Muhammad Akhmal kini stabil.
Bagaimanapun, beliau ditidurkan bagi menjalani rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca serta faktor yang membawa kepada kejadian berkenaan.
TDM turut memandang serius insiden itu dan akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, turut menzahirkan dukacita terhadap insiden berkenaan serta mendoakan agar Muhammad Akhmal dipermudahkan segala urusan sepanjang menerima rawatan dan proses pemulihan.
“TDM turut menyeru semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada TDM menjalankan proses siasatan secara telus dan adil,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








