Lelaki Thailand didakwa bunuh rakan di kebun getah
GUA MUSANG – Seorang penoreh getah warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di kawasan kebun getah Kampung Pulai, bulan lalu.
Tertuduh, Mapaochi Samae, 46, berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan selepas didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki, Manah Maemoh, 48.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menerusi jurubahasa dan tertuduh hanya mengangguk tanda faham, memetik laporan Kosmo! Online.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan kebun getah Kampung Pulai antara pukul 7 petang hingga 11 malam pada 18 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga Thailand direman tujuh hari bermula 23 April lalu bagi membantu siasatan penemuan mayat penoreh getah dengan kesan tetakan di kawasan anak air di kampung berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








