BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

“Adik dakwa dengar suara ejekan” – isteri lelaki dipenggal adik ipar

ALOR SETAR – Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini apabila Marliana Awang, 39, menceritakan detik-detik sebelum suaminya, Nasir Md Nanyan, 45, maut dalam kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun, malam semalam.

Menurut Marliana, kejadian itu berlaku selepas adiknya yang juga suspek utama dipercayai mengalami gangguan perasaan dan dikatakan terdengar suara-suara aneh memanggil dan mengejeknya sebelum bertindak di luar kawalan.

“Adik cerita pada polis, katanya dia nak keluar mandi, lepas itu dia nampak macam suami saya panggil dia. Dia kata ada suara ejek-ejek dia, macam orang perli,” katanya sebak.

Marliana memaklumkan, adiknya sebelum ini sering menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan halusinasi malah jarang bergaul dengan orang kampung.

“Kalau orang kampung datang, dia akan lari masuk bilik. Dia bercakap seorang diri, tak suka keluar rumah. Orang kampung pun ramai yang tak kenal dia,” ujarnya.

Menurut Marliana lagi, suspek pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak lagi hadir ke sesi rawatan dan enggan mengambil ubat.

“Mak yang pergi ambil ubat, tapi dia tak makan. Sejak PKP masa Covid-19, dia mula berubah. Sebelum itu, dia baik-baik saja,” tambahnya.

Menurut Marliana, adiknya juga pernah mengamuk sebelum ini, namun tidak sampai mengganggu penduduk kampung secara langsung dan lebih banyak menyendiri bersama keluarga.

Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan mengerikan di kawasan sawah berhampiran rumah mereka, dipercayai akibat ditetak oleh suspek dalam satu pergaduhan.

Polis yang menerima panggilan orang awam sekitar pukul 7.05 malam berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button