BERITA SEMASA

TDM tidak akan berkompromi salah laku, siasat isu budaya ‘YEYE’

KUALA LUMPUR — Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan pegawai atau anggotanya susulan isu tular berkaitan budaya ‘YEYE’ dalam kalangan warga tentera yang mencetuskan pelbagai persepsi negatif masyarakat.

Sel Perhubungan Raya Markas TDM dalam satu kenyataan berkata, kepimpinan baharu TDM memandang serius perkara tersebut dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Menurut kenyataan itu, TDM akan menjalankan siasatan dalaman terhadap semua aduan yang diterima.

“Sekiranya terbukti bersalah, tindakan disiplin akan dikenakan mengikut peraturan perkhidmatan serta undang-undang sedia ada.

“Dalam usaha membendung isu integriti dan aktiviti tidak bermoral, TDM turut akan melaksanakan penguatkuasaan berterusan melalui pemerintah di semua pasukan, formasi dan pusat latihan. Langkah ini termasuk peringatan berkala serta pemantauan berterusan di semua peringkat,” katanya hari ini.

Sebagai langkah pencegahan katanya, TDM juga akan memperkasa pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika selain mempergiatkan aktiviti keagamaan serta kerohanian bagi memupuk nilai profesionalisme dan jati diri yang berdisiplin dalam kalangan warganya.

Pada masa sama katanya, kepimpinan TDM terus komited untuk memastikan institusi itu kekal diyakini, dihormati dan disokong rakyat melalui amalan integriti serta profesionalisme tinggi demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button